Tuesday, August 16, 2011

BERPEGANG TEGUH KEPADA AJARAN AL-QURAN



Peristiwa turunnya Al-Quran pada bulan Ramadhan adalah antara unsur-unsur yang menjadikan bulan Ramadhan mempunyai kelebihan daripada bulan-bulan yang lain. Allah menetapkan demikian supaya paling kurang manusia dalam setahun mengingati betapa pentingnya berpegang teguh dengan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran, bukan semata-mata membaca dan memperingati peristiwa nuzul Al-Quran.

Allah menurunkan Al-Quran dalam dua peringkat; peringkat pertama daripada Luh Mahfuz ke langit dunia yang berlaku pada bulan Ramadhan dan kedua dari langit dunia ke atas Nabi Muhammad s.a.w. yang memakan masa selama 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.



 Manusia memerlukan kepada Al-Quran untuk menjadi panduan di dalam kehidupan ini lebih daripada segala-galanya. Walaupun Allah melebihkan manusia daripada makhluk-makhluk lain dengan kurniaan akal fikiran, hebatnya manusia dengan kurniaan akal fikiran sehingga boleh menundukkan makhluk-makhluk yang lebih besar dan hebat daripadanya seperti besi, kayu, binatang buas dan lain-lain lagi. Tetapi dengan akal fikiran sahaja tidak mencukupi, manusia perlu kepada unsur lain yang dinamakan dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah ke atas nabi-nabi yang berakhir dengan Nabi Muhammad yang diturunkan dengan Al-Quran.

Manusia mestilah menjadikan Al-Quran sebagai panduan di dalam kehidupan ini jika sekiranya mahu selamat dan sejahtera, umpama seseorang yang pergi ke Bandar membeli sebuah mesin basuh yang menjadi keperluannya, dia tidak pernah menggunakan mesin basuh, apabila dia membawa balik ke rumahnya maka akan disertakan bersama-samanya dengan buku panduan yang akan menunjukkan kepadanya bagaimanakah mahu mengendalikan mesin basuh tersebut. Jika sekiranya dia mengikut arahan di dalam buku panduan itu maka dia akan menggunakannya dengan selamat maka begitulah sebaliknya. Begitulah juga manusia yang hidup di dunia ini memerlukan kepada panduan untuk memastikan kehidupannya selamat di dunia dan selamat di akhirat kelak dan panduan tersebut ialah wahyu Allah yang terkandung di dalam Al-Quran.




Di dalam Al-Quran terdapat berbagai keterangan, dalil-dalil, berita-berita tentang orang dahulu yang dibinasakan, berita-berita para nabi dan rasul dan nasihat-nasihat serta kesabaran mereka. Di dalamnya juga terdapat berita-berita tentang akhirat, tentang neraka dan syurga beserta dengan penghuninya masing-masing. Di dalamnya diterangkan juga garis panduan tentang apa saja yang dibolehkan dan yang dilarang. Firman Allah:
“ Alif Lam Miin. Kitab ini (yakni Al-Quran ) tidak ada syak baginya, menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa”.  ( Al-Baqarah: 1-2 )

Orang-orang yang mendapat petunjuk daripada Allah adalah mereka yang mengikut semua ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran. Untuk membuktikan semua ajaran di dalam Al-Quran adalah betul maka Allah menjadikannya satu mukjizat yang berkekalan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Mukjizat Al-Quran adalah satu mukjizat yang berkekalan, di zaman nabi mukjizatnya terserlah dari sudut susunan dan erti bahasa arabnya yang sangat hebat yang tidak boleh ditandingi oleh orang-orang Arab pada zaman itu. Di zaman moden ini juga Al-Quran tetap menjadi mukjizat dengan ilmu pengetahuan dan hakikat-hakikat yang telah didedahkan di dalamnya yang terbukti benar melalui hasil kajian sains dalam berbagai lapangan ilmu seperti angkasa lepas, kejadian manusia, kejadian bumi dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, di dalam bulan yang mulia ini umat Islam mestilah meningkatkan keimanan mereka dengan mengikut semua ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran yang akan menjaminnya keselamatan di dunia ini dan lebih-lebih lagi di hari akhirat kelak.


Yang ikhlas
Ustaz Muhamad Khalil bin Dato’ Seri Abdul Hadi
Ketua Pemuda Pas Kawasan Marang

0 comments:

  ©Template by Dicas Blogger