Friday, November 27, 2009

Presiden PAS turun sampaikan bantuan banjir

MARANG, 27 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Tuman dan Bukit Kulim dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan, petang kelmarin.

Ketika banjir melanda daerah ini beberapa hari lalu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berada di ibu negara kerana menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Walaupun begitu, pemimpin PAS negeri dan kawasan telah melawat mangsa yang terlibat dengan banjir di kawasan masing-masing.

Selepas majlis itu, Ustaz Abdul Hadi yang dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu bergegas pula melawat mangsa banjir di kawasan Dun beliau, Rhu Rendang.

Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Berangan, Ustaz Abdullah Suhaimi Zakaria, berkata pihaknya membuat pengagihan bantuan itu secara berkumpulan yang melibatkan beberapa pemimpin PAS kawasan.

Katanya, antara mereka yang terlibat ialah Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Ahmad Maarof Ismail; Ketua Dewan Muslimat, Hajjah Zarani Othman; setiausaha, Hassan Jusoh dan penasihat MTD berkenaan, Haji Mohd Draman.

Menurutnya, sebanyak 50 keluarga yang telah kembali dari pusat pemindahan banjir menerima sumbangan berupa barangan keperluan dapur seperti beras, tepung, minyak masak, susu, ikan kering dan gula itu di rumah masing-masing.

Beliau berkata, Presiden PAS dan isteri, Toh Puan Seri Hajjah Zainab Awang Ngah juga berkesempatan bertanya khabar beberapa orang mangsa banjir sewaktu menyampaikan bantuan itu.

Bagi pihak Dun, beliau mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program tersebut.

0 comments:

  ©Template by Dicas Blogger