Showing posts with label perutusan aidiladha. Show all posts
Showing posts with label perutusan aidiladha. Show all posts

Friday, November 27, 2009

Perutusan hari Raya Aidil Adha

Pada hari yang sangat besar ertinya kepada umat Islam ini, ketika mana Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan keturunan berhimpun di tempat letaknya kiblat umat Islam, kita dipersatukan dengan Islam yang menjadi panduan hidup manusia sehinggalah ke hari kiamat. Iman yang dimiliki oleh umat manusia inilah yang juga mempersaudarakan kalangan manusia dari pelbagai rupa bangsa samada dekat atau jauh, semuanya adalah bersaudara di antara satu sama lain.

Kita membaca bagaimana umat Islam di zaman dahulu berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadis Nabi saw, termasuklah dalam perkara hubung-kait antara satu sama lain walaupun mereka berselisih pendapat dan berbeza pemimpin, mazhab dan guru tetapi mereka berkasih sayang dan bermaafan. Kalau mereka berselisih pendapat atau berkelahi dengan mudah sahaja mereka berdamai kerana mereka menyelesaikan masalah dengan kembali kepada kepada Al-Quran dan Hadith Nabi saw.

Kepada seluruh ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS), marilah kita terus menerus memperkukuhkan parti kita dengan sama-sama kita mengikhlaskan niat perjuangan kita kerana Allah, dan seterusnya kita beramal dengan kaedah perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Marilah kita berpegang teguh kepada firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 59.

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”

Juga sabda nabi s.a.w yang diucapkan ketika menunaikan haji selamat tinggal :

“Janganlah kamu menyeleweng, menjadi kafir selepas aku wafat sehingga ada di kalangan kamu memancung leher dengan pedang-pedang di antara satu sama lain (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari & Muslim)

Ikhlas,

Presiden PAS
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Leia Mais

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha

Assalamualaikum wbt

Kami saf kepimpinan Pemuda PAS Kawasan Marang ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya pemuda marang dan amnya kepada semua umat islam .

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s beserta anaknya Nabi Ismail a.s dalam meneruskan perjuangan membela agama. Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban yang mengingatkan kita kenangan ribuan tahun bagaimana Nabi Ibrahim a.s, menunjukkan kepatuhan,ketaatan, pengorbanan dan kesabaran dalam menerima perintah Allah s.w.t.

Atas nama sunah ini maka seluruh umat Islam di pelusuk dunia bagi yang berkemampuan telah menyembelih binatang ternakan sebagai tanda mengikut jejak langkah Nabi Ibrahim a.s. Kisah Nabi Ibrahim a.s baik ketika meninggalkan anak kecil dan isteri muda yang lelah di tengah padang pasir juga ketika menerima perintah Allah menyembelih anak kesayangannya, sudah diketahui dari kitab-kitab, tuan-tuan guru dan ceramah-ceramah malah dalam Al-Quran sendiri.

Kesemua kisah itu dapat kita simpulkan kepada tiga;

Pertama, asasnya adalah ketaatan yang kental kepada Allah s.w.t.

Kedua, ‘Millah’ Ibrahim ialah Allah akan memberi hidayah kepadanya kerana semata-mata mentaati Allah.

Ketiga, ialah keikhlasan dalam amalan.

Allah tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang dikerjakan dengan penuh ikhlas dan semata-mata ditujukan kepada-Nya. Oleh sebab itu, penghayatan yang mendalam atas pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s wajar dicerna dalam segenap ruang hidup kita.

Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar sentiasa membiasakan diri untuk mengamalkan sikap suka berkorban sepanjang masa dari segi wang, tenaga, masa, dan buah fikiran untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Allahu akbar ! Allahu akbar ! Allahu akbar !

Leia Mais

  ©Template by Dicas Blogger