Pemuda terima kritikan, atur strategi baru
INTERBIU EKSKLUSIF
Posted by AzizieIbrahim
MUQADIMAH: Dapatan kajian tokoh akademik, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah mengejutkan peserta Seminar Memperkasakan PAS, 7 Nov lalu. Beliau menjangkakan PAS akan berdepan dengan kehilangan undi anak muda berdasarkan persepsi negatif golongan tersebut terhadap PAS muktahir ini. Tempiasnya dirasai Dewan Pemuda PAS Pusat. Wartawan, NYZA AYOB mencungkil pandangan politik ketuanya, Ustaz Nasruddin Hassan mengenai isu ini.
HARAKAH: Dalam Seminar Memperkasakan Parti (PAS) baru-baru ini, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah mendedahkan berdasarkan kajian yang dijalankannya, mendapati golongan muda punyai persepsi negatif terhadap keupayaan kepimpinan parti. Jadi, kenyataan ini juga menunjukkan hilangnya sokongan muda terhadap PAS...
USTAZ NASRUDDIN HASSAN: Pertamanya Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan terima kasih di atas dasar dan hasil kajian yang bersungguh-sungguh di pihak Dr. Abu Hassan. Ia adalah hasil kajian yang menunjukkan kelemahan atau kemerosotan sokongan pengundi muda terhadap PAS dan sekaligus menjelaskan kelemahan Dewan Pemuda PAS Pusat.
Kami terima dengan lapang dada dan kami anggap ia satu perkara untuk memotivasi semula seluruh pemuda agar bangkit dan pro-aktif dalam melaksanakan beberapa tindakan untuk meraih semula sokongan generasi muda terhadap PAS.
Kita ambil tanggungjawab itu dengan penuh insaf. Dan kami dengan penuh serius akan mengambil langkah-langkah wajar bagi segera mendekati dan memenangani hati generasi muda agar kembali kepada PAS.
Bagaimanapun, itu merupakan satu daripada kajian yang berbentuk persepsi umum terhadap PAS. Kami juga menyediakan satu 'task force' dalaman untuk membuat kajian serupa bagi melihat sejauh mana kedudukan hasil kajian tersebut.
Kami akan menggunakan Institute Policy Study dalam Dewan Pemuda PAS untuk melihat lebih mendalam dan lebih dekat permasalahan ini. Kami akan mengkaji apakah punca kemerosostan sokongan terhadap PAS seterusnya akan menyusun beberapa langkah strategik selepas itu.
Apakah Dewan Pemuda PAS Pusat terlepas pandang dalam merencanakan aktiviti yang dapat menarik perhatian anak muda?
Sebenarnya telah ada dalam perancangan kita beberapa aktiviti dan projek untuk mendekati generasi muda ini. Tetapi oleh kerana selepas Muktamar pada Jun 2009, kita terpaksa berdepan dengan tiga pilihan raya kecil iaitu Manek Urai, Permatang Pasir dan Bagan Pinang.
Setiap satu pilihan raya sekurang-kurangnya kita mengambil masa satu bulan untuk persiapan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya tersebut.
Jadi, secara umumnya dalam tempoh sebulan kita habiskan untuk gerak kerja pilihan raya. Kita mempunyai masa yang amat singkat. Walaubagaimanapun, saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan sebaliknya akan segera menggerakkan jentera-jentera Pemuda PAS. Dalam erti kata lain kami akan membuat kebangkitan semula untuk menyemarakkan aktiviti Pemuda.
Apa aktiviti yang akan dilaksanakan Pemuda PAS nanti?
Kita telah merancang dalam waktu terdekat ini dengan melancarkan kempen 'Anti Zina dan Pergaulan Bebas'. Ini adalah untuk mendekati generasi muda yang terlanjur dan yang hanyut dalam budaya hidonisma dan budaya barat yang merosakkan moral dan akhlak mereka sekaligus mengalih perhatian mereka daripada urusan menjaga negara dan keluarga.
Ertinya, generasi muda yang hanyut dalam gejala seperti ini tidak akan memikirkan soal masa depan mereka kerana mereka tenggelam dalam dunia mereka sendiri. Jadi melalui kempen ini, kita akan dekati dan santuni mereka serta membimbing mereka.
Kita akan cuba mendekati mereka dengan PAS sehinggalah mereka memahami aspirasi perjuangan kita untuk menyelamatkan generasi muda. Kita juga akan melancarkan projek 'Orang Muda Geng Kita'. Projek ini kita telah gerakkan di beberapa buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Perak dan Terengganu.
Terbaru dalam Himpunan Pemuda Islam Terengganu yang dihadiri kira-kira 7,000 anak muda di peringkat negeri. 'Orang Muda Geng Kita' ini akan bergiat aktif di seluruh negara. Dan negeri-negeri lain akan segera menggerakkan program ini serta mengambil langkah pro aktif. Ini juga merupakan perancangan untuk bertemu dengan semua peringkat generasi muda sama ada generasi muda di bandar atau desa.
Bagaimana pula dengan proses mengemaskini pendaftaran pemilih pengundi muda?
Ya, di samping aktiviti tersebut, kami juga akan mengemaskini pendaftaran pengundi muda. Anak muda yang sudah layak mengundi akan segera didaftarkan.
Apabila menyebut golongan muda, salah satu badan yang dapat menarik perhatian anak muda ialah Unit Amal. Bagaimana Unit Amal akan diperkasakan untuk menarik perhatian mereka?
Sebagaimana yang telah kita putuskan, pada awal Januari 2010, satu Konvensyen Amal akan diadakan untuk mengemas kini gerak kerja Unit Amal sebagai skuad penting gerak kerja Dewan Pemuda PAS.
Pemuda juga akan memastikan modul sedia ada diperkasakan serta dihayati anggota Unit Amal yang bukan sahaja terhad kepada hanya sebagai pasukan sukarelawan bagi majlis-majlis anjuran PAS tetapi akan mengorak langkah lebih jauh lagi dengan menjadi duta Pemuda PAS ke tengah-tengah masyarakat.
Ini bermakna kita berhasrat untuk mengangkat Unit Amal mengungguli kerja-kerja kebajikan dan seterusnya mendekatkan diri kepada generasi muda melalui aktiviti-aktiviti lasak termasuk aktiviti berpakaian seragam. Saya amat berharap langkah pro aktof ini berjaya menarik minat anak muda untuk menyertai Unit Amal.
Apakah usaha Pemuda dalam mendekati anak-anak ahli PAS?
Ya, perkara ini memang dalam perhatian kami. Kami mendapati masih ramai di kalangan anak-anak ahli PAS yang masih belum didaftarkan untuk menjadi pengundi walaupun mereka telah layak mengundi.
Ada di kalangan anak-anak ahli yang belum terlibat secara langsung dengan Pemuda. Dalam pada itu kita akan menggerakkan pengukuhan iman dan fikrah sepanjang cuti persekolah ini. Ini juga bagi memastikan anak-anak ahli dapat memberikan sokongan yang padu kepada Pemuda PAS sekaligus membantu kami untuk membuat gelombang kedua dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.
Berbalik kepada Seminar Memperkasakan PAS, apakah Ustaz melihat ia benar-benar dapat menyelesaikan perbezaan pendapat yang wujud?
Dalam seminar tempoh hari dapat dilihat Exco dan anggota Pemuda PAS banyak bangun memberikan kritikan balas terhadap kritikan yang dilemparkan ahli panel. Itu tidak menggambarkan Pemuda PAS tidak menerima kritikan dan tertutup dalam menerima pandangan.
Sebaliknya, saya menyifatkan apa yang berlaku itu selain secara kebetulan, ia juga akan menunjukkan satu ruang cambahan pemikiran untuk mewujudkan suasana menerima dan memberi dan bukan hanya menerima sahaja pendapat tersebut.
Sebaliknya kita memberi reaksi balas terhadap pandangan-pandangan dan cadangan daripada panel. Melalui percambahan pemikiran sedemikian dengan konsep menerima dan memberi, daripada situ kita akan mendapat hasil yang lebih 'original' berbanding kita hanya menerima satu hala. Yang memberi cadangan atau kritikan itu adalah tokoh akademik iaitu pihak luar parti.
Sudah tentu juga kita perlu memberi reaksi bagaimana pandangan-pandangan dari dalam parti. Jadi kombinasi pandangan pihak luar dan dalam parti, maka saya menjangkakan masyarakat amnya dan ahli-ahli parti khasnya dapat mengambil natijah yang lebih konstraktif.
Berdasarkan maklum balas Exco dan ahli-ahli Pemuda PAS itu, ada yang beranggapan Pemuda PAS agak tertutup dan tidak boleh menerima kritikan.
Saya menafikan tanggapan Pemuda PAS tidak berfikiran terbuka dan enggan terima kritikan. Ini adalah satu persepsi yang salah. Sebab apabila kita memberi reaksi balas, ini bermakna kita respons terhadap pandangan yang diberikan. Cuma kita tidak menelan bulat-bulat pandangan tersebut untuk kita melihat juga maklum balas daripada ahli panel tersebut.
Jadi, pada pandangan Ustaz, kombinasi dua hala ini akan mewujudkan pandangan yang lebih bernas?
Ya, ia akan menghasilkan pandangan yang lebih bernas berbanding kita menerima semata-mata. Jadi, bukti kita bersikap terbuka, selepas seminar tersebut, Dewan Pemuda PAS Pusat membuat pertemuan susulan dengan Prof Dr Abdul Aziz Bari pada 11 November selama dua jam.
Melalui pertemuan tertutup itu, kita mengambil segala input dan kita mendengar segala pandangannya dengan menggunakan konsep sebagaimana diajar Allah dalam Al-Quran 'Jadilah orang-orang yang mendengar ucapan-ucapan yang disampaikan'.
Kemudian kita mengutip apa yang terbaik daripada apa yang kita dengar itu. Jadi, konsep itu saya gunakan dan kita tidak akan menutup ruang kepada sesiapa sahaja yang ingin memberikan pendapat.
Kemudian pendapat tersebut akan kita kaji dan nilai serta akan laksanakan apa yang terbaik untuk kepentingan parti dan perjuangan Islam yang kita dokong.
Apakah akan ada pertemuan susulan dengan tokoh-tokoh akademik yang lain?
Kita akan megnadakan pertemuan dengan Profesor Madya Dr. Mohd Agus Yusuf dalam waktu terdekat ini. Dan kita juga berusaha menetapkan satu tarikh untuk bertemu pula dengan Prof. Madya Dr Abu Hassan untuk kita mengambil input daripada semua tokoh-tokoh ini.
Dan selepas ini juga Pemuda PAS akan terus membuka ruang selebarnya untuk diberi kritikan dan pandangan daripada pelbagai pihak sama ada tokoh akademik, ahli politik atau individu serta mana-mana pihak yang mereka rasakan wajar memberi pandangan.
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat terbuka pada bila-bila masa untuk menerima pandangan ini. Dengan keterbukaan ini diharap Pemuda PAS akan mendapat input yang berguna dan sekaligus dapat memulih kepercayaan generasi muda sekaligus membaiki persepsi negatif yang dilemparkan kepada Pemuda PAS.
Mungkinkah juga persepsi negatif terhadap Pemuda PAS itu timbul ekoran laporan media arus perdana?
Pada saya persepsi yang timbul hari ini kadang-kadang dicipta oleh musuh dan penguasaan mereka terhadap media serta kuasa kerajaan merupakan kelebihan musuh iaitu Barisan Nasional (BN). BN yang membentuk persepsi umum terhadap PAS. Walaubagaimanapun kami tidak akan mengalah untuk bingkas bangun mengatasi keadaan ini.
0 comments:
Post a Comment