Wednesday, November 19, 2008

Kerja Pembinaan LPT Punca Rumah Retak


Ditulis oleh Wartawan Buletin
Tuesday, 18 November 2008
Marang - Bingung dengan masalah keretakan rumah dan pelbagai masalah lain yang timbul, seorang suri rumah merayu agar pihak berkenaan tampil menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Anisah Nawi, 37, mendakwa, kediamannya yang terletak di Kampung Binjai Bongkok menghadapi pelbagai kerosakan disebabkan kerja pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 2.





Katanya, kerosakan di beberapa bahagian rumah itu disebabkan gegaran semasa kerja membina lebuh raya dilakukan. “Antara kerosakan yang ketara dapat dilihat ialah melibatkan atap rumah sehingga berlaku kebocoran pada bumbung dan siling pula rosak. Pintu bilik dan rumah juga rosak sehingga bergesel pada lantai.


“Kami juga terpaksa me-ngalami gangguan bunyi setiap kali kerja pembinaan dilakukan. Lebih teruk, rumah kami terlalu hampir dengan kerja pembinaan lebuh raya iaitu 24.38 meter,”


katanya kepada Sinar Harian, semalam. Katanya, bagi mengatasi masalah itu, keluarganya telah berbincang masalah berkenaan dengan pihak terlibat dan dinasihatkan untuk membuat surat rasmi mengenai aduan itu. Ekoran itu, pihaknya telah menghantar surat kepada Lembaga Lebuh Raya Malaysia bertarikh 14 Julai, Pejabat Tanah dan Galian pada 30 Oktober dan MTD Construction Sdn Bhd bertarikh 1 November.


“Pada 2 November lalu, saya dihubungi dan diminta supaya menghantar anggaran tuntutan ganti rugi kerosakan kepada pihak MTD. Pihak berkenaan juga beberapa kali datang ke rumah dan meninjau kerosakan yang berlaku. “Namun sehingga kini, saya tidak tahu apa statusnya sekarang. Saya mengharapkan pihak berkenaan memberi maklum balas.


Saya bingung jika masalah ini berterusan sebab bimbang akan membabitkan kos pembaikan yang tinggi,” katanya

0 comments:

  ©Template by Dicas Blogger